Kulit mempunyai 3 lapisan iaitu epidermis, dermis dan tisu subcutaneous yang berlemak.
Epidermis
Epidermis adalah lapisan paling atas yang nipis. Ketebalan epidermis berbeza-beza mengikut kedudukan dan taburannya pada tubuh kita. Misalnya epidermis pada tapak tangan dan kaki lebih tebal berbanding epidermis kulit pada badan. Yang paling nipis adalah epidermis pada kelopak mata. Epidermis terbentuk daripada beberapa lapisan dengan yang teratas sekali dipanggil stratun corneum.
Stratum corneum dipenuhi sel-sel mati yang amat halus dan sukar dilihat oleh mata kasar. Sel-sel ini akan disingkirkan setiap hari. Ada kalanya ia banyak dan dilihat seperti kulit mengelupas. Bagi pengguna produk pengelupasan, apa yang disingkirkan adalah sel-sel epidermis ini. Proses pengelupasan haruslah mengikut prosedur dan sukatan yang betul. Andaikata bahan kimia yang digunakan adalah toksik dan boleh merosakkan sel. maka seluruh epidermis akan rosak dan tidak mampu dipulihkan sepenuhnya. Kulit akan tampak tidak sekata dan kehitaman disebabkan pigmentasi.